Jumaat, 4 September 2009

Ramadhan, Bulan Mustajab Doa


Ujian demi ujian yang datang menimpa diri adalah merupakan tanda kasih sayang Sang Pencipta kepada hambaNya. Biarpun ujian yang melanda itu terlalu berat untuk dipikul, namun percayalah, pasti ada hikmah dikemudiannya. Apa jua hikmah disebalik segala kejadian itu pasti amat besar peringatan dan tauladannya. Baik hikmah disebalik ujian yang diberikan, ataupun dari apa jua yang dijadikan olehNya yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

"Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kukuh dan kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata. Untuk menjadi pengajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (mengingat) Allah" (surah Qaaf, Ayat : 7-8)

Alhamdunillah, dikesempatan terluang ini, dapat lagi saya mencoretkan kalam buat perkongsian bersama. Konsep doa dalam Islam acap kali kita dengari, baik melalui kuliah-kuliah agama mahupun majlis-majlis zikrullah. Namun, adakah kita ketahui keistimewaan dan faedah disebalik doa-doa yang kita mohon..? ataupun ia hanya sekadar ikut-ikutan, (orang lain berdoa, aku pun nak ikut berdoa). Ini adalah budaya kebiasaan yang berlaku di dalam masyarakat kita. Melakukan sesuatu perbuatan hanya bercerminkan persekitaran tanpa mengetahui akan hikmah disebalik perbuatan tersebut. ("Apakah dia Keistimewaan dan Faedah berdoa ya Ustaz..?") mungkin inilah persoalan yang akan kalian ajukan kepada saya setelah persoalan yang saya timbulkan sebelumnya..

Jadi di sini, ingin saya kongsikan bersama permata hikmah disebalik "Keistimewaan Dan Faedah Berdoa":-

1. Melalaui doa seseorang Muslim dapat mententeramkan jiwa dan mencurahkan segala harapan serta merasa insaf terhadap kelemahan diri di dunia fana ini serta menyedari bahawa masih ada lagi yang berkuasa untuk memberi pertolongan.

2. Satu tuntutan Allah sebagai ibadah.

3. Untuk menghilangkan penderitaan dan kegelisahana batin serta perasaan putus asa kepada jaminan Allah.

4. Dikasihi Allah bila selalu berdoa dan menghampirkan diri kepadNya.

5. Jalan untuk menambahkan kekuatan iman bila disedari ada tempat bergantungan.

6. Nabi Muhammad (saw) yang maksum sering berdoa melebihi 70 kali sehari semalam.

7. Merupakan satu jenis ikhtiar untuk mencapai sesuatu yang dihajati.

8. Doa boleh menguatkan iman, menjernihkan hati, menggiatkan kerja, menambahkan kelazatan ibadah, memurahkan rezeki dan menjauhkan bala dan tipu daya musuh.

9. Doa sebagai senjata orang2 beriman dan otak segala ibadah.



Setelah megetahui akan keistimewaan dan faedah berdoa, mungkin persoalan ini pula yang akan kalian ajukan (Ustaz, adakah doa yang dipohon itu akan diterima oleh Allah..?) Jawapannya, bilamana kita memohon doa dari Sang Pencipta Yang Maha Kuasa, Maha Pengampun, Maha Penyayang, dengan penuh rasa keinsafan dan keikhlasan dalam diri kita, ditambah lagi di dalam beberapa keadaan, insyaallah dengan izin Allah Yang Maha Mengetahui, akan menerima doa -doa kalian. Namun kalian harus tahu dalam keadaan yang sebagaimanakah doa-doa akan terus dimakbulkan olehNya, insyaallah seperti berikut:-

1. Doa mereka yang dizalimi.
2. Doa orang tua dan kanak-kanak.
3. Doa ibu bapa kepada anak-anak.
4. Doa orang soleh yang bertaqwa.
5. Doa orang musafir yang diharukan.
6. Doa orang yang berpuasa.
7. Doa orang yang sakit.
8. Doa para malaikat dan para Rasul dan Nabi-nabi.
9. Doa raja atau pemerintah yang adil.



("Ustaz, adakah tanda-tanda yang menunjukkan doa kita tu dimakbulkan..?") erm, mungkin inilah persoalan yang seterusnya yang akan kalian ajukan (menurut firasat ana lah)... Jawapanya, kadang kala kita tidak mengetahui bahawa sesuatu doa itu diterima oleh Allah ataupun tidak, namun insyaallah ia masih boleh dikesan dengan wujudnya perkara berikut:-

1. Tercapai apa yang dipohon.
2. Dikurniakan sesuatu yang lebih baik dari apa yg dipohon.
3. Terpelihara dari sesuatu bala bencana.
4. Dimurahkan rezeki,hati tenteram dan mudah menjalan semua pekerjaan.



Namun, dalam pada itu, jangan kita alpa, dan terlalu yakin doa-doa kita akan sentiasa diterima dan diperkenankan oleh Allah swt, ("kenapa Ustaz cakap macam tu..?"), ini adalah kerana, ramai dikalangan kita yang sering menyatakan bahawa mereka selalu berdoa dan menadahkan tangan ke langit, boleh dikatakan hampir setiap masa bibirnya tidak lekang dari menyebut serta memohon doa kehadhrat Allah. Namun apa yang dihajati serta dipohon tidak pernah diperkenankan oleh Allah swt. Sahabat sahabiah sekalian, banyak sebab kenapa doa seseorang itu tidak diperkenankan oleh Allah swt, Antaranya:-

1. Terlalu banyak melakukan dosa.
2. Masih berada di dalam lingkungan maksiat.
3. Berdoa di tempat maksiat.
4. Tidak menunaikan kewajipan terhadap Allah swt.
5. Tidak mengamalkan isi kandungan Al-Quran.
6. Meninggalkan Sunnah Rasulullah saw.
7. Terlalu banyak tunduk kepada tuntutan nafsu syaitan.
8. Tidak menghindarkan larangan Allah swt.
9. Sikap suka mengumpat serta memaki hamun.
10. Tidak pernah bersyukur akan nikmat kurniaan Allah swt.
11. Derhaka kepada pemerintah yang adil.
12. Derhaka terhadap kedua ibu bapa.
13. Bersifat takabbur, riak, sombong dan sebagainya.



(Ooo.. begitu rupanya yer Ustaz, terima kasih di atas perkongsiaan ini Ustaz, alfu syukran..) Afwan.. dan kemungkinan inilah yang akan kalian lafazkan setelah berakhirnya perkongsian saya bersama kalian.. "Insyaallah, kalau ada peluang dan keizinan dariNya, bolehlah kita sama-sama duduk dan berkongsi ilmu lagi, insyaallah." Wallahualam..